Ucapan Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak Sempena Hari ASEAN Ke-42 pada 8 Ogos 2009

 

ASSALAMUALAIKUM  WARAHMATULLAHI  WABARAKATUH,

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Esok, 8 Ogos 2009 adalah hari ASEAN. Pada tarikh ini 42 tahun yang lalu, Persatuan Negara Asia Tenggara atau ASEAN dilahirkan. Hari yang bersejarah ini disambut bersama-sama negara anggota yang lain sebagai memperingati dan meraikan pencapaian ASEAN selama ini.  Sehubungan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari ASEAN kepada semua rakyat Malaysia dan negara ASEAN yang lain.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

2.            ASEAN ditubuhkan demi menepati aspirasi pemimpin terdahulu iaitu melahirkan sebuah rantau di mana negara-negara anggotanya wujud dalam persekitaran yang aman, stabil dan makmur.  Selama 42 tahun, aspirasi ini telah dapat dipelihara dengan baik.  Jika kita lihat keadaan di rantau lain, ada yang sering dilanda pergolakan dan ketidakstabilan. Rakyat mereka hidup di dalam suasana yang kurang selamat, ketakutan dan sukar menikmati keperluan-keperluan asas.  Tetapi keadaannya berbeza bagi kita. Alhamdulillah, rantau kita aman, stabil dan makmur. Justeru itu, negara kita dapat membangun dan rakyat juga dapat menikmati kehidupan yang selesa.

3.            Pada masa yang sama, kita tidak seharusnya mudah berpuas hati dengan keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati sekarang. Kita perlu ingat, ASEAN tidak terlepas dari cabaran. Di dalam era globalisasi ini, sesuatu yang berlaku di tempat lain akan membawa kesan secara langsung atau tidak langsung kepada negara di rantau ini.  Misalnya, kesan krisis kewangan yang pada mulanya dihadapi oleh Amerika Syarikat turut menular dan dirasai oleh seluruh rakyat antarabangsa masa ini.

4.            Justeru itu, kita harus memastikan ASEAN kekal teguh dan bersepadu demi menghadapi cabaran-cabaran semasa dan akan datang.  ASEAN harus terus mengorak langkah ke arah satu Komuniti ASEAN pada tahun 2015  berteraskan nilai-nilai dan norma-norma yang dikongsi bersama.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

5.            Piagam ASEAN yang dicadangkan oleh Malaysia pada hari ini telah menjadi kenyataan. Piagam ini menggalakkan tiga perkara utama bagi memastikan pelan ASEAN untuk mewujudkan satu komuniti ASEAN menjelang tahun 2015 tercapai.

6.             Pertama, Piagam ini akan memperkukuhkan lagi struktur dan mekanisma ASEAN bagi membolehkan negara anggota bersama-sama menghadapi dan menangani cabaran rantau ini.

7.            Kedua, Piagam ini akan menjadikan ASEAN sebuah organisasi yang lebih berteraskan peraturan.  Peraturan dan sebarang keputusan yang diambil bersama harus dilaksanakan sepenuhnya oleh semua negara ASEAN.

8.            Ketiga, Piagam ini akan memastikan segala kerjasama dan aktiviti yang dilaksanakan oleh negara anggota ASEAN di selaras dengan baik.

Tuan – tuan dan Puan – puan,

9.            Perkembangan di ASEAN turut dipantau oleh negara-negara yang mempunyai kepentingan strategik di rantau ini, termasuklah rakan-rakan dialog ASEAN.  Kerjasama erat yang terjalin di antara ASEAN dengan rakan-rakan dialog turut membantu ASEAN mengurangkan jurang pembangunan di kalangan negara anggotanya.

10.         Kerjasama ini juga telah membawa kepada peningkatan jumlah dagangan di antara ASEAN dengan negara-negara berkenaan.  Kemasukan pelaburan asing ke rantau ini juga telah berganda. Ini membantu membangunkan ekonomi negara ASEAN serta membuka peluang pekerjaan yang meningkatkan kualiti hidup rakyat ASEAN termasuk rakyat di negara ini.  Kerjasama dengan rakan dialog dan negara-negara lain dijangka akan terus berkembang.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

11.         Usaha ASEAN untuk mencapai matlamat satu komuniti ASEAN menjelang 2015  tidak mungkin berjaya tanpa sokongan dan penglibatan rakyat ASEAN. Jika dahulu, hala tuju ASEAN dilakarkan oleh para pemimpin dan pihak kerajaan, kini rakyat ASEAN perlu turut memainkan peranan.  Sokongan padu rakyat ASEAN akan memperkukuhkan lagi pertubuhan ini. Dengan cara ini, ASEAN akan menjadi lebih bermakna.

12.         Maka, saya mengambil kesempatan ini menyeru semua rakyat negara ini supaya mengenali ASEAN dengan lebih dekat, memahami bagaimana ASEAN boleh memanfaatkan rakyat dan bagaimana tuan-tuan dan puan-puan dapat bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan dalam menjayakan aspirasi ASEAN.

13.         Saya juga menyeru agensi-agensi dan institusi-institusi sektor awam dan swasta membantu dan menyumbang ke arah menjayakan wawasan ASEAN. Penglibatan semua lapisan masyarakat di dalam aktiviti-aktiviti dan program-program ASEAN, terutamanya di kalangan belia dan generasi muda yang akan mewarisi tampok kepimpinan negara di masa hadapan adalah penting. Dengan sokongan dan kerjasama tuan-tuan dan puan-puan sekelian, Insyaallah, matlamat Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti ASEAN akan tercapai.

Sekian. Terima kasih.

WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH

WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI  WABARAKATUH.

Contact Us

ASEAN-Malaysia National Secretariat

Wisma Putra No 1,
Jalan Wisma Putra
Precint 2
62602 Putrajaya

Tel :603-8887 4000
+603-8887 4570 (after working hours)
Fax : +603-8889 2729

Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.