Perutusan Y.A.B Perdana Menteri Sempena Sambutan Hari ASEAN Ke 45

ASSALAMUALAIKUM  WARAHMATULLAHI  WABARAKATUH

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

Esok tanggal 8 Ogos 2012 merupakan saat yang amat bersejarah bagi ASEAN. Ini  kerana pertubuhan yang telah berjaya menyatukan sepuluh buah negara-negara Asia Tenggara  akan mencecah usia 45 tahun. Untuk itu amat bertepatan sekali tema yang dianjurkan oleh Kemboja selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2012 iaitu “ASEAN: Satu Komuniti, Satu Tujuan (One Community, One Destiny).  Sesungguhnya tema ini  mencerminkan aspirasi  anggota ASEAN  dan ianya  memandu usaha kolektif ke arah kesatuan yang lebih sempurna.

 

2.            Sewajarnya hari ini disambut dengan penuh kesyukuran oleh semua warga ASEAN kerana ia  melambangkan kejayaan rantau ini bersandarkan falsafah kerjasama serta tolak ansur. Pada usia hampir setengah abad ini  amat perlu untuk ASEAN melakukan proses introspeksi. Kita perlu merenung apakah yang telah berjaya kita capai dan kita perlu bertanya apakah yang perlu kita lakukan lagi bagi terus berjaya sebagai sebuah pertubuhan?

 

3.            ASEAN kini merupakan antara rantau yang paling dinamik di dunia. Dengan saiz pasaran lebih 500 juta penduduk dan GNI terkumpul bernilai USD $2.15 trillion, ASEAN sesungguhnya adalah pertubuhan yang telah mencapai kejayaan membanggakan dan ia penuh dengan potensi masa depan.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

4.            Penglibatan aktif negara-negara rakan dialog semasa mesyuarat dan persidangan peringkat ASEAN adalah merupakan pengiktirafan masyarakat dunia kepada kemampuan dan potensi ASEAN itu sendiri. Platform ASEAN telah diterima pakai untuk membincangkan perihal politik dan ekonomi serantau. Isu-isu berkepentingan bersama seperti isu keselamatan, penyeludupan dadah, anti-keganasan dan alam sekitar misalnya dapat dibincang dan ditangani secara bersama bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik.

 

5.            ASEAN telah diperkukuhkan dengan termeterainya Piagam ASEAN atau ASEAN Charter. Piagam ASEAN telah mentransformasikan ASEAN kepada sebuah pertubuhan berlandaskan peraturan atau rules-based,  mempergiatkan lagi integrasi dan kesalinghubungan antara negara-negara anggota dalam bidang politik, ekonomi dan kebudayaan.

 

6.            Namun ASEAN sentiasa peka kepada perubahan zaman. ASEAN prihatin bahawa ia perlu terus relevan dengan aspirasi warganya. Bertitik-tolak kesedaran inilah pemimpin-pemimpin ASEAN telah melancarkan Agenda Kesalinghubungan ASEAN atau ASEAN Connectivity Agenda pada tahun 2010. Agenda ini bertujuan untuk memastikan bahawa  ASEAN dapat dihubungkan melalui jaringan pengangkutan dan komunikasi. Bayangkanlah kemungkinan yang  ada  jika segala produk dari negara-negara ASEAN dapat bergerak dengan mudah dari satu negara ke negara yang lain.

 

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

7.            Sejak penubuhannya, kemampuan ASEAN untuk menjadi sebuah kerangka politik serantau bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan rantau ini seringkali diragui. Keberkesanan gerak kerja ASEAN  dipersoalkan oleh kerana  pegangannya kepada prinsip  tidak campur tangan di dalam hal ehwal dalaman negara-negara anggota yang disifatkan sebagai kurang efektif dalam mengatasi konflik di rantau ini. 

 

8.            Namun, di sebalik kritikan-kritikan tersebut, mekanisme ASEAN ini sudah terbukti berkesan dalam mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran negara-negara di rantau ini. Justeru, tidak hairanlah pertubuhan yang bermula dengan 5 negara anggota sahaja pada tahun 1967, telah berkembang kepada 10 buah negara anggota.

 

9.            Segala faktor positif yang terhasil ini telah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pemimpin negara-negara anggota untuk merencana pelbagai inisiatif dan  pelan pembangunan untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup warganya. Jelas, kewujudan ASEAN telah menjadi pemangkin dalam merapatkan jurang perbezaan tahap pembangunan sosio-ekonomi antara negara-negara di rantau ini.

 

10.         Biarpun ASEAN masih berpegang teguh kepada prinsip tidak campur tangan atau non-interference, mekanisme-mekanisme ASEAN yang berpaksikan apa yang disebutkan sebagai ‘The ASEAN Way’ atau ‘Cara ASEAN’ telah membolehkan pelbagai isu yang disifatkan sebagai sensitif dan kompleks diselesaikan di meja perundingan. ‘Cara ASEAN’ ini jelas telah membuahkan hasil. Proses demokrasi

 

11.         yang kini telah bermula di Myanmar menjadi bukti. ‘Cara ASEAN’ ini, yang berasaskan pemuafakatan juga ditonjolkan dalam peristiwa-peristiwa lain. Sebagai contoh, pendekatan yang telah diambil oleh Malaysia dalam menyelesaikan tuntuan-tuntutan antara negara-negara jiran adalah ianya boleh diselesaikan dengan baik.  

 

12.         ASEAN  kini telah menubuhkan Suruhanjaya antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Suruhanjaya ASEAN untuk Penggalakan dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-Kanak (ACWC). Kini ASEAN berada dalam peringkat akhir untuk menghasilkan Deklarasi Hak Asasi Manusia yang bakal digunakan oleh negara-negara anggota ASEAN dalam memelihara hak asasi manusia di rantau ini.

 

13.         Saya yakin dan percaya bahawa kematangan hubungan antara negara-negara anggota ASEAN dengan berpegang kepada konsep Kepusatan ASEAN atau  ASEAN centrality yang ditunjangi semangat kebersamaan ASEAN atau ASEAN solidarity, permasalahan-permasalahan sebegini pasti akan dapat diselesaikan dengan baik.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

14.         Masa hanya berbaki kurang dari 3 tahun sebelum kita menobatkan ASEAN sebagai sebuah komuniti pada tahun 2015 iaitu tahun di mana Malaysia akan mempengerusikan ASEAN. Kita tidak mampu untuk leka mahupun dibuai nostalgia kejayaan terdahulu. Kita perlu mengorak langkah untuk terus memperkasakan ASEAN. Salah satu cabarannya bagaimana untuk memasyarakatkan ASEAN  terutamanya sekali kepada golongan belia?

 

15.         Di pihak kerajaan Malaysia, usaha membawa ASEAN kepada rakyat Malaysia akan terus dipergiatkan melalui pelaksanaan program seranta atau outreach. Fokus akan diberikan kepada memperkenalkan sejarah, sistem nilai,  budaya dan kepentingan  ASEAN. Hanya dengan kefahaman mendalam mengenai pertubuhan ini maka warga ASEAN terutamanya  golongan belia akan dapat menghargai  peri mustahaknya.

 

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

16.         Sempena sambutan hari ASEAN yang ke-45, saya ingin mengambil peluang ini untuk menyarankan semua negara anggota, dan semua warga ASEAN, supaya terus gigih berusaha bagi melaksanakan pelan strategik  semua lapangan seperti mana yang telah dirancang.

 

17.         Insya Allah, dengan berpandukan kepada Piagam ASEAN dan sokongan padu dan kesepakatan semua pihak, kita akan dapat merealisasikan Komuniti ASEAN menjelang 2015.

 

Sekian.

 

“Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti”

 

SELAMAT MENYAMBUT HARI ASEAN KE-45.

 

WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI  WABARAKATUH.

Contact Us

ASEAN-Malaysia National Secretariat

Wisma Putra No 1,
Jalan Wisma Putra
Precint 2
62602 Putrajaya

Tel :603-8887 4000
+603-8887 4570 (after working hours)
Fax : +603-8889 2729

Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.